Friday, 13 July 2012

Khasiat Sayur


Sayur Makanan Kesihatan, Kelebihan dan Khasiat


Sayur merupakan makanan kesihatan yang penuh khasiatnya, Sayur itu sendiri merupakan makanan kesihatan yang mempunyai khasiat yang mampu mengubati dan mencegah pelbagai penyakit.
Sudah lama kita ketahui bahawa sayur-sayuran ni banyak khasiatnya dari segi  kandungan nutrition seperti vitamin, mineral, lemak, protein dan karbohidrat. Menurut penyelidik sebahagian daripada sayur-sayuran dan buah-buahan ini mengandungi komponen yang boleh membantu menangani masalah kesihata serta menyediakan hidup yang lebih sihat. Ini kebiasaaan sayur-sayuran yang kita makan:

DAUN SALAD
Daun salad ini juga bertindak menenangkan dan melapangkan fikiran, sekali gus menghilangkan segala keresahan yang melanda.Daun ini juga mengandungi karotin, seraf dan air yang dapat menghilangkan rasa dahaga dan juga bertindak melancarkan sistem pernafasan .

KOBIS
Kobis bukan sahaja berkesan untuk mengubati penyakit ulser dan barah malah berkesan untuk mengubati masalah-masalah lain di usus. Ia juga meredakan masalah di bahagian perut dan hati seperti yang dialami oleh mereka yang lali arak. Selain itu asid amino yang mengandungi belerang dalam kubis juga bertindak menurunkan paras kolestrol. Selain itu, meredakan saraf dan menenangkan fikiran dan sekaligus membantu seseorang itu tidur dengan selesa pada waktu malam.

TIMUN
Biji timun mengandungi racun alkoloid jenis hipoxanti ,yang berkesan untuk merawat kanak-kanak yang kecacingan. Bagi mereka yang menhidapi sakit tekak apabila diserang batuk, penyakit ini dapat dirawat dengan biji timun dimana sedikit biji timun dicampurkan dengan sedikit garam dan dikumuh beberapa kali sehari. Pengamalan ini dapat mengembalikan suara yang hilang. Selain itu, penyakit sampu pucat iaitu sejenis penyakit pening-pening yang berterusan sehingga dapat menurunkan berat badan dapat diatasi dengan pengamalan makan timun mentah atau yang telah dimasak. Timun juga dapat mengubati penyakit disesteri iaitu keluar darah semasa membuang air besar.

LOBAK PUTIH
Masalah perut meragam sering kali berlaku akibat ketidakhadaman makanan dan keadaan ini sungguh menyakitkan seluruh badan.Ramai yang tidak mengetahui yang lobak putih mempunyai kandungan khasiat yang tinggi dan sayur ini dapat menyelesaikan masalah penghadaman.

PERIA
Sayur ini adalah penawar kepada pesakit yang menghidapi penyakit kencing manis. Kandungan bahan yang menyerupai insulin didapati berkesan dalam menurunkan paras gula dalam darah dan air kencing. Penghidap kencing manis mestilah menjadikan jus peria ini sebagai satu jus minuman harian, terutama sekali sebelum sarapan.Selain itu peria juga dapat menyembuhkan penyakit batuk yang menyerang kanak-kanak.

BAYAM
Jus bayam mengandungi zat besi secukupnya untuk mengatasi masalah-masalah seperti anemia sejenis penyakit kurang darah. Kaedahnya adalah dengan mengisar daun bayam dengandengan segelas air dan diminum dua kali sehari. Wanita seringkali kekurangan zat besi kerana didatangi haid pada setiap bulan. Jus bayam yang dicampurdengan jus lobak merah atau jus tomato boleh membekalkan zat besi secukupnya untuk menambah tenaga mereka kerana jus bayam mengandungi asid aksalik dan penambahan jus-jus lain dapat mengatasi kesan-kesan keasidannya.


TOMATO
mengekalkan kecergasan badan.Ia juga baik untuk melicinkan kulit dan merupakan salah satu bahan awet yang penting .

KENTANG
Sayur ini berkesan untuk merawat penyakit batu karang dan juga mengatasi masalah jerawat dan bisul.Caranya adalah dengan mengadun udi kentang dengan sedikit air kemudian disapu ke atas jerawat atau bisul yang sudah pecah sebelum ditutup dan dibalut dengan kain bersih. Cara rawatan yang sama juga digunakan bagi merawat kudis atau luka.

TERUNG PIPIT
Buah ini mengandungi banyak khasiat. Antaranya dengan meminum air rebusan buah ini dapat meredakan kesakitan akibat sakit perut yang berterusan.Selain itu akarnya pula dapat mengubati retak kulit pada kaki.

Saturday, 19 May 2012

JASA GURU


Sesungguhnya peranan guru sememangnya besar. Ini adalah kerana anak-anak yang diasuh, diajar dan dibimbing inilah yang akan menjadi  insan-insan yang dapat mempamerkan akhlaq dan peribadi yang dikehendaki Islam selaras dengan Al-Quran dan Sunnah.

Bermacam-macam kes dan kejadian yang negatif yang kita semua dengar pada hari ini. Anak-anak yang menumbuk muka guru, menyimbah asid ke muka guru, memukul guru, merosakkan kereta guru dan bermacam-macam lagi kes yang melibatkan murid dan guru. Kita tidak mahu bilangan kes seperti ini meningkat dari masa ke semasa. Maka, DPPN Pk amat berharap agar anak-anak yang dikeluarkan daripada sekolah akan keluar dengan kualiti yang cemerlang dari segi akhlaq dan ilmu pengetahuan.

Sambutan Hari Guru ini juga sebenarnya adalah untuk menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru di kalangan masyarakat di Malaysia.

Gurulah yang menyebabkan kita semua mengenal A,B,C…. alif,baa,taa…. 1,2,3…dan sebagainya…. Jika bukan dari seorang guru, maka tidaklah lahir seorang peguam, doktor, orang politik, pegawai-pegawai, pengurus-pengurus dan berbagai-bagai jenis manusia yang bermula dari tahu membaca dan mengeja. Maka, sememangnya lah wajar untuk kita semua mengingati dan meraikan para Guru. Memang tidak boleh dinafikan betapa besarnya pengorbanan seorang guru dalam mendidik anak-anak menjadi orang yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat, agama dan negara.
Kadang-kadang mereka mendidik anak-anak murid sehingga ada yang tidak sempat meluangkan masa untuk anak-anak mereka sendiri. Namun apa yang kita harapkan guru-guru semua ikhlas dalam pengorbanan tersebut.

Insya Allah, Allah pasti akan membalas dengan ganjaran yang setimpal, samada  di dunia mahupun di akhirat kelak. Keikhlasan itu sangat-sangat penting kerana dari ikhlasnya guru yang mengajar, maka anak-anak didik mendapat ilmu yang berkat. Ilmu yang berkat inilah yang akan melahirkan anak-anak yang mampu menjadi pelapis muda yang berilmu, beriman dan bertaqwa.

Justeru, guru-guru perlu sentiasa mendidik jiwa, membetulkan niat dan mengikhlaskan segala pengajaran dan pengorbanan yang dilakukan. Guru-guru juga harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran mengajar.

Rasulullah SAW sejak awal sudah mencontohkan dalam mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang baginda lakukan memerhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang itu, sehingga nilai-nilai murni dapat ditanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik.

Kami penuh yakin dengan kewibawaan guru-guru dalam mempersiapkan diri anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus globalisasi dan penuh cabaran ini.

Akhirnya, kami sekali lagi menyeru kepada semua guru supaya membulatkan tekad dan menguatkan azam untuk sama-sama membantu meningkatkan dan melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam bidang  agama dan pendidikan. Adalah menjadi harapan saya, semua guru akan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah. Khas untuk guru-guru sekalian dan semua yang bergelar guru…


Kau seperti lilin yang menerangi
memberi sinar membakar diri
agar insan jadi insani
tanpamu kosong tiada erti
tak mungkin kami berada di sini.

Terungkap citra seorang wira
dari huruf menjadi kata
dari bebal menjadi bijaksana
dari putih menjadi warna
pencorak kehidupan penyambung bangsa
melangkah jauh terasa nyata
visi mendatang mudah terlaksana.

Di saat buntu, dikaulah pembantu
memberi ilmu tanpa jemu
tak kira masa, tenaga dan waktu
jasamu itu ku kenang selalu
biarpun beranak berpinak cucu.

Sesekali melangkah pasti rebah
nasihatmu kuingat menghilangkan gundah
agar diri dan semangat menjadi gagah
daku pasti tak mungkin mengalah
ilmu dan pengalaman diberi sudah
setelah berusaha dan berdoa, terserahlah.

Duhai guru-guru yang dikasihi
Terimalah kasih dan sayang kami
Lantaran berbudi tidak berperi
Untuk satu perjuangan hakiki
Kami kini mampu berdikari.
Terima kasih guru.


SELAMAT HARI GURU

TEKS KHUTBAH JUMAAT SEMPENA HARI GURU KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA TAHUN 2012


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, Tanggal 16 Mei pada setiap tahun merupakan hari yang amat bermakna bagi setiap warga guru. Guru pasti diingati, dihargai dan diraikan dengan sewajarnya.

Tidak kira siapa pun yang pernah mengajar kita, banyak atau sedikit ilmu yang dicurahkan, tidak kira apa bangsa atau agamanya, mereka tetap guru kita. Merekalah yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira supaya kita ini menjadi insan yang berilmu. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk kita mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap pembangunan masyarakat dan negara. Tema Sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”.

Guru Inovatif adalah guru yang mampu membuat transformasi (perubahan) atau mencipta sesuatu yang baru samada dalam bentuk sumber atau kaedah yang sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda yang lebih dinamik. Atas dasar itu, guru haruslah berperanan untuk menggarap elemen-elemen inovasi di dalam melonjak transformasi pendidikan negara melalui idea dan kepakaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan mengaplikasi segala sumber melalui kaedah yang paling kreatif dan berinovasi. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 190:

Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal.

Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa ayat ini mengandungi perintah Allah kepada manusia supaya menggunakan akal dan fikiran, untuk melakukan penelitian serta penyelidikan, terhadap dalil kekuasaan Allah di muka bumi. Budaya mengkaji dan bermuhasabah ini diharapkan mampu menjana guru-guru yang berinovasi. Renunglah dengan mata hati terhadap hakikat dan hikmah kejadian segala ciptaan Allah bagi mengukuhkan keimanan kita. Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Usaha melahirkan modal insan yang beriman dan bertakwa bukanlah suatu usaha yang mudah dan dipandang remeh.

Usaha tersebut memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Justeru atas tuntutan tersebut, para guru telah banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit tanpa mengenal erti penat lelah dan perasaan jemu bagi memastikan anak-anak didiknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan. Selain daripada itu juga para guru berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghapuskan kejahilan dan kecelaruan yang sering kali bermain dibenak fikiran anak-anak didiknya.

Di sini jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh para guru walaupun kita lihat pada hari ini ke mana sahaja mereka dihantar untuk berkhidmat sama ada di bandar-bandar besar, di kampung-kampung, di pedalaman-pedalaman atau di pulau-pulau namun demi menyahut seruan untuk mendidik anak bangsa yang tercinta mereka sanggup dan menerima cabaran tersebut. Dengan berkat kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan yang ditunjukkan maka akhirnya lahirlah para ulama., doktor, jurutera, pensyarah, peguam mahupun usahawan yang tersohor di tengah-tengah masyarakat.

Kita tidak dapat menafikan bahawa guru berperanan menjadi agen perubahan di dalam masyarakat. Para guru berganding dengan ulama’ dan umara’ terus menerus tanpa putus asa, menggerakkan usaha membangun modal insan terbilang. Ini termasuklah membangun minda anak-anak melalui ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah sehinggalah kepada ilmu-ilmu kehidupan,

termasuklah ilmu sains dan teknologi. Guru bukan hanya sekadar mengajar, malah guru turut mendidik dan membentuk akhlak-akhlak terpuji. Manakala anak-anak pelajar yang ingin dilahirkan pula bukan sahaja hebat inteleknya, malah berintegriti sebagaimana akhlak baginda Rasulullah s.a.w. Itulah sebenarnya antara perkara yang telah digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sidang Jemaah yang dihormati,

Islam menggalakkan kita untuk menuntut ilmu dan mengajarkannya pula kepada insan yang lain. Wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. melalui surah al-’Alaq memberikan penekanan tentang kepentingan membaca dalam usaha melengkapkan diri dengan ilmu. Tambahan pula, kelebihan orang yang berilmu telah dirakamkan melalui firman Allah di dalam surah al-Mujadalah ayat 11 berbunyi:

“Maksudnya: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Imam Shafie pernah berpesan dalam Kitab Diwan Imam Assyafie: “Saudaraku, engkau tidak akan memperolehi ilmu melainkan dengan mempunyai enam perkara: Kecerdikan, minat, kesungguhan, perbelanjaan, mendampingi guru dan masa yang panjang”

Sidang Jumaat yang dihormati, Era globalisasi dan cabaran semasa menyebabkan dunia pendidikan anak-anak kita menjadi lebih terbuka. Penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi seperti penggunaan laman sosial yang tidak terkawal, serta pengaruh negatif media massa mempengaruhi tindakan anak-anak pelajar.

Maka, berleluasalah gejala buli, ponteng, merokok, berzina, pembuangan bayi di dalam kalangan pelajar sekolah serta lain-lain masalah sosial sepertimana yang dilaporkan di dada akhbar. Kita tidak boleh meletakkan peranan membentuk akhlak dan peribadi anak-anak kita hanya kepada guru-guru di sekolah sahaja. Ibu bapa serta ahli masyarakat sewajarnya memainkan peranan secara kolektif.

Gunakanlah ruang permuafakatan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menjana idea dan menyelesaikan masalah. Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak diberikan kasih sayang dan perhatian secukupnya. Usaha mendidik anak-anak sebenarnya bermula dari rumah, terutamanya dalam mendirikan solat secara istiqamah, membaca, memahami serta menghayati isi kandungan al-Quran. Ianya selari dan bertepatan dalam usaha mengukuhkan pelaksanaan program j-QAF dan aktiviti-aktiviti dakwah di sekolah, sekaligus membantu usaha menyemarakkan syiar Islam yang berteraskan kepada al-Quran dan as-sunnah.

Rasulullah s.a.w. bersabda: اُغْدُ عَالِماً أَوْ مُ عَلِّماً اَوْ مُسْ مِعاً اَوْ مُحِبًّا وَلاَ تَكُنِ الْخَامِسَةَ هْلِكْ

Maksudnya: Jadilah kamu orang yang berilmu, atau orang yang mempelajari ilmu, atau orang yang mendengar dalam majlis ilmu, atau

orang yang cintakan ilmu. Dan jangan kamu menjadi orang yang kelima, nescaya kamu akan binasa (Riwayat at-Tabrani) Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, Selain daripada ibubapa, masyarakat juga mestilah memainkan peranan yang penting dalam usaha menyokong para guru untuk membentuk dan mendidik generasi muda hari ini. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat ialah mewujudkan kembali budaya tegur menegur dan nasihat menasihati bagi meningkatkan penghayatan nilai murni serta mengurangkan amalan negatif dalam kalangan remaja.

Bagi ibu bapa pula janganlah cepat melatah atau melenting sekiranya anak kita ditegur atau dinasihati oleh ahli masyarakat, sebaliknya ambillah ia sebagai satu teguran yang positif dan membina demi kebaikan bersama. Para pengamal media sama ada media elektronik atau media cetak juga diharapkan dapat memainkan peranan yang lebih besar di dalam menyediakan rancangan dan bahan-bahan yang boleh membina dan membangunkan modal insan. Unsur hiburan secara keterlaluan yang banyak dipaparkan dan dipertontonkan melalui kedua-dua saluran media tadi akan menimbulkan kesan negatif terhadap semua lapisan masyarakat terutama kepada golongan remaja.

Sehubungan itu penguatkuasaan dan tapisan kepada unsur negatif perlulah dipertingkatkan sebagai usaha membendung masalah sosial dalam kalangan anak-anak pelajar. Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Suasana harmoni dan hubungan mesra di antara guru-guru, para ibu bapa dan masyarakat perlu diperkukuhkan demi melicinkan proses pendidikan. Untuk tujuan tersebut marilah sama-sama kita membudayakan perkara-perkara berikut:

Pertama : Janganlah diperbesar-besarkan atau disensasikan isu-isu yang remeh temeh sebaliknya selidikilah terlebih dahulu punca asal sesuatu isu tersebut dan selesaikanlah secara bijaksana kerana guru juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Sepatutnya kita perlu saling mengukuhkan persefahaman antara satu sama lain.

Kedua : Budayakan amalan perundingan dan perbincangan sepertimana tuntutan Islam dalam menangani sebarang masalah. Ianya bertujuan bagi mengelakkan timbulnya pelbagai kesan yang tidak diingini kepada semua pihak. Akibatnya, anak-anak pelajar juga yang menjadi mangsa keadaan.

Sidang Jumaat yang dihormati; Akhirnya, mimbar Jumaat pada hari ini menyeru dan berpesan, marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru melalui tindakan berikut: Pertama : Mendoakan kebahagian buat guru-guru, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Kedua : Menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturrahim. Ketiga : Menghulurkan apa juga bentuk sumbangan mengikut kemampuan masing-masing kepada institusi pendidikan. Keempat : Berkatalah dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru. Kelima : Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru dan semua insan yang pernah menabur bakti dan budi kepada kita, sehingga kita menjadi siapapun pada hari ini.

Buat para guru pula, teruslah beristiqomah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, mudah-mudahan akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. TERIMA KASIH CIKGU. Firman Allah dalam surah al-’Alaq ayat 1 – 5:

Maksudnya: Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya.

بَارَكَ ااُ لِىْ وَلَكُمْ ىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَ فَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا يْوِ مِنَ الآيَاتِ

وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَ قَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَوُ إِنَّوُ ىُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُولُ

قَ وْلِى ىذَا وَأَسْ غْفِرُ ااَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ،

وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، اسْ غْفِرُوهُ إِنَّوُ ىُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيم.
Sempena Hari Guru yang disambut pada 16 Mei 2012, disertakan tema-tema hari guru dari tahun 1972-2012..SEMOGA BERMANAFAAT!

2012 GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

2011 Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

2010 Guru Pembina Negara Bangsa

2009 Guru Pembina Negara Bangsa

2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang

2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang

2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan

2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama

2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan

1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang

1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama

1997 Guru Bestari Sekolah Bestari

1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia

1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan

1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan

1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan

1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan

1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang

1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera

1989 Guru Pembina Budaya Ilmu

1988 Guru Pengasas Budaya Membaca

1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan

1986 Pendidikan Teras Nasionalisme

1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan

1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan

1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan

1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu

1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat

1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara

1979 Murid Sejahtera Negara Jaya

1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang

1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan

1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan

1975 Guru dan Pembangunan Negara

1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi

1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan

1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara


SEORANG GURU..


Seorang guru..
Seorang muallim,
Seorang murabbi..

Guru samada di kenali dengan status rasmi atau tidak tetap bertanggungjawab membawa tugas besar membentuk ummah. Saya, anda dan kita semua tidak dapat menafikan itu.

Walaupun sedikit, mereka tetap memberi kesan pada kita. Guru dengan segala dengan komitmennya ‘hidup’ mendidik..tanpa mengeluh, tanpa alasan.

Dia mengajar dengan memahami erti pendidikan..
Dia mengajar semata-mata kerana memberitahu dan memberimahu..
Dia mengajar kerana mahu pelajarnya lebih baik darinya..
Dia juga belajar prinsip ‘Seek first to understand,then to be understood’, semata mata kerana pelajarnya..

TERIMA KASIH YA MUALLIM

Jadi pengorbanan begitu hanya selayaknya di hantar dengan nilai ‘Terima Kasih’ sebagai penghargaan. Nilai terima kasih itu wajar diterjemahkan oleh para pelajar kepada gurunya dengan menjadi insan berguna kepada ummah.

Tazkirah Hari Guru 2012 :

Membangun Diri Menunaikan Amanah

Guru Mengajar Murid Belajar


       "Tidak akan kamu berperasaan gundah walau sekali, jika kau tahu apa yang dicari."
                                                  ~ Umar Al-Khattab

Objektif Sesi Hari Ini



·         Mengenal dan menilai diri dari aspek profesionalisme dan profesionaliti

·         Antara keunggulan dan realiti wujud ruang (jihad) membangunkan potensi diri

·         Antara iman, amal dan bual, mana satu menjadi bekal?

·         Jadilah Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu

·         Memenuhi tuntutan Guru Mengajar Murid belajar


"Profesionalisme" (bagi Eric Hoyle,1980) adalah sikap dan tindakan yang menyentuh aspek-aspek yang  berkaitan dengan pekerjaan seperti hal-hal tentang syarat-syarat kerja, soal

gaji dan upah, jadual tugas dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya. Semuanya adalah hal-hal yang selalu dihubungkaitkan dengan perjuangan kesatuan sekerja.

 "Profesionaliti" pula ialah sikap dan tingkah-laku yang ditunjukkan oleh seseorang terhadap "profesionnya" serta taraf pengetahuan dan ketrampilan dalam bidang pekerjaan itu.

Seseorang guru yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kualiti pengajarannya dan sentiasa mementingkan kejayaan dan kebajikan murid-muridnya dikatakan mempunyai

"profesionaliti" yang tinggi. Dengan kata lain, guru itu  melihat perguruan dan tugasnya bukan semata-mata sebagai satu "pekerjaaan" tetapi sebagai satu "profesion" (Omar Hashim,1993).

 Sifat dan Ciri-Ciri Seorang Guru Yang Perkasa

 Terhadap Murid:


1.      punyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mengejar hasil dari segi afektif dan juga kognitif

2.      hubungkan 'mata plajaran' dengan kehidupan murid-murid

3.      kenal, hormati dan percayai murid-murid

4.      mengajar murid-murid bagaimana hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis

5.      menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-murid berfikir mengenainya

6.      menggalakkan murid-murid bertanyakan soalan mengenai pelajaran

7.      hadir dalam lain-lain aktiviti di mana murid-murid terlibat seperti sukan, persembahan musikal dn kebudayaan.

  
Terhadap Mengajar:

      1.      melakukan refleksi dan kritik-kendiri, mercu tanda profesionalisme seorang guru

2.      berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman

3.      adil dalam menilai dan menggred

4.      fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran

5.      bersemangat dalam mengajar , murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran

6.      seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan idea-idea yang kompleks mudah difahami dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya

7.      sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid

8.      merancang pengajaran terlebih dahulu, beri masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan menyepadukan mata pelajaran

9.      secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa 'baru dan segar' serta relevan

10.  menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menambahbaik sekolah, jabatan atau dirinya sendiri.



  Terhadap Disiplin:


1.      seorang yang pakar dalam bidang yang dia ajar

2.      seorang yang 'laparkan' ilmu; sentiasa up to date dalam bidangnya dengan membaca; menghadiri konferens, konvensyen, bengkel dan seminar; dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan

3.      juga seorang yang suka 'belajar' perkara-perkara di luar bidangnya

4.      aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya

5.      menjadi ahli kepada komuniti yang belajar

6.      bina dan mengekalkan perhubungan profesional

7.      bekerja dalam organisasi sekolah yang luas


  Secara Peribadinya:


1.      tunjukkan contoh dan teladan yang utuh di dalam atau di luar bilik darjah dan mengajar kebertanggungjawaban murid-murid serta standard yang tinggi

2.      berfikiran terbuka, rendah diri, dan bersikap optimistik.



  Antara "Keunggulan" dengan "Realiti" wujud ruang lakukan "Perjuangan"



  Apa yang "unggul" itu?

  Boleh diukur dan dinilai menerusi aspek i) Diri Peribadi  2) Organisasi  3) Iklim dan

  Budaya Kerja.

1.      Diri peribadi: bersikap positif dan memiliki ketrampilan pengetahuan dan kemahiran yang tidak dipertikai; berfikiran terbuka (tidak sempit, jumud dan beku); pengurusan masa dan diri yang tinggi (selalu on time, datang awal, masuk kelas cepat, mengajar dengan penuh dedikasi dan penuh sifat dan ciri-ciri profesionalisme dan profesionaliti yang tinggi);suka bekerjasama dengan rakan sejawat (tidak lokek ilmu); hasil kerja yang berkualiti (dari segi isi kandungan, format, gaya dan persembahan) memenuhi sifat-sifat seorang yang inovatif, kreatif dan produktif; sabar dalam melayani karenah anak didik dan juga rakan sejawatan; berpegang kepada prinsip yang jelas, betul, benar, dan utuh di dalam semua keadaan dan situasi.

2.      Organisasi: dapat dilihat sebagai sebuah organisasi yang sistematik, teratur dan tertib; jelas susun atur heirarki tugas dan kuasa; wujud kolaborasi, kolegialiti dan partisipasi; masing-massing individu faham dan menyumbang kepada kegemilangan organisasi.

3.      Iklim dan Budaya Kerja: diri peribadi yang jadi ahli organisasi akan tentukan senario, suasana atau pun iklim seluruh premis yang akhirnya wujud sebagai satu budaya kerja berkualiti dan cemerlang; persekitaran yang bersih, ceria dan selamat; suasana yang kondusif kepada pembelajaran bermakna; anak didik yang aktif dan responsif tetapi bukan bising tak tentu hala.



  Tetapi "realitinya" bagaimana?



  1. Aspek peribadi: bersikap yang tidak sesuai dan tidak cerminkan seorang (atau guru-guru) yang sejati dengan tingkah-laku dan gelagat yang merendahkan martabat diri dan organisasi;    

datang lewat, lambat masuk kelas mengajar, atau kalau masuk tidak mengajar, atau masuk sekejap kemudian tinggalkan murid buat kerja sendiri, suka buang masa (berborak dan bersembang semasa bertugas), buat sibuk pada masa dia tidak sibuk; semuanya ini jadi amalan dan tak rasa malu apatah lagi rasa berdosa.Pengetahuan dan kemahiranyang tidak berkembang; walau dah lama menjadi guru tetapi kerja masih comot, kabur, salah sana salah sini, tak faham format dan kandungan, sangat lewat siapkan laporan data dan maklumat (termasuk analisis dan diagnosis) dan masih tak pandai buat minit mesyuarat atau belum faham-faham bezakan antara laporan dan minit; dokumen murid sering tidak kemaskini; buku-buku latihan murid sangat lama tidak diperiksa; dan paling buruk sikap bodoh sombong, besar diri dan sangka diri paling betul hingga kerja wajib sebagai seorang guru ditinggalkan dan melebihkan kerja-kerja lain yang bukan wajib (direct selling dan seumpamanya); bagaimana kita hendak jadi Guru Sebenar Guru?

   2. Aspek Organisasi pula kenyataannya datangnya daripada sikap dan perlakuan para ahlinya; sering wujud senario nafsu-nafsi (tidak landaskan prinsip dan peraturan)  akhirnya terbentuk organisasi yang kalut, caca-marba, ikut suka; hingga berlarutan bertahun-tahun maka wujudlah beberapa status organisasi seperti:
i)   Organisasi  Bermasalah, 
ii)  Organisasi Terbiar
iii) Organisasi Berpenyakit
iv) Organisasi Bebas-Cukai dan
v)  Organisasi Mentaliti "Mengajar sebagai Kerja Bodoh."

 3. Aspek Iklim dan Budaya Kerja: Reaitinya iklim yang gambarkan "budaya organisasi" yang sentiasa di bawah standard dan jangkaan semua pelanggan dalaman dan luaran atau tidak memenuhi aspirasi masyarakat dan negara. Maka terdengarlah segala macam rungutan, komen dan kritikan daripada rakyat jelata di desa sampailah kepada Perdana Menteri yang memerintah negara; antarnya seperti "Kita tidak serius sebagai Guru Besar..."; "..sekolah kebangsaan tidak menarik dan kurang berdisiplin.'; "3M tidak berkesan di sekolah kebangsaan berbanding SJK Cina."; "Sebanyak 1,919 buah sekolah dikenalpasti sebagai sekolah prestasi rendah (SPR) kerana pencapaian bawah 30% kelulusan UPSR (1999)"; " Pelajar-pelajar Melayu tertinggal dalam pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi...."; adalah fakta dan faktor yang mesti kita terima dan akui bagi membanteras dan memperbaikinya melalui ruang yang luas di mana kita bebas membuat pilihan...yakni pilihan perjuangan menghapuskan kealpaan, kelederan, kelewatan, ketidakakuran, kelemahan dan kehinaan akibat dari kebejatan profesionalisme.

 
Kita sebagai Apa yang Kita Fikirkan


Apa yang kita percayai dan yakini itulah yang kita buat dan lakukan (amalan hidup); dan apa yang kita buat dan apa yang kita tidak buat akan jadi "warisan" (legacy) setelah kita berpindah sekolah. Apabila kita secara tekal berfikir, bertindak (beramal) dan mengutamakan motif diri kita inilah kemudiannya yang digelar sebagai sikap. Oleh itu kaitan antara pemikiran, perbuatan atau tingkah-laku dan kepercayaan (beliefs) amatlah saling berkait rapat dalam membezakan seseorang personaliti dengan personaliti yang  lain. Jika kita fikirkan mengajar bersungguh-sungguh tidak penting (asal ajar sudah) maka kerja mengajar kita jadilah sebagaimana seadanya sahaja, dan di mata anak didik kita  dilabel sebagai "guru malas". Begitu juga jika kita fikir datang awal atau masuk kelas segera sebagai tidak penting maka jadilah kita orang yang sentiasa 'lengahkan waktu' dan seolah-olah tidak berminat dalam pekerjaan kita sendiri. Atau apa yang kita asyik lebihkan masa berborak dan bersembang (termasuk adu domba, fitnah, hasut-menghasut, apatah lagi berpolitik) daripada mengajar anak didik sebaik-baiknya, maka jadilah kita orang-orang yang utamakan kerja yang tidak berkenaan dan mengabaikan kerja utama dan kerja yang wajib ke atas kita.Pendeknya  inilah yang dikatakan segala yang kita fikir, yakni menjadi 'kepercayaan kita' maka kita pasti melakukan segala 'kebejatan' ini yakni apa yang kita amalkan setiap hari sehingga menepati Hukum Ganjaran yakni "Apa Yang Disemai Itulah Yang Dituai"; dan inilah menjadi "warisaan" kita yang kita tinggalkan nanti.


 Jadilah Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu


Setiap sesuatu di dunia ini mempunyai dua wajah; positif atau negatif; hitam atau putih; buruk atau baik; cemerlang atau kecundang; begitu juga sikap dan perlakuan kita   sebagai guru-guru yang bukan sahaja profesional sifatnya malah menunjukkan ciri-ciri profesionaliti yang tinggi sepanjang masa. Antara ciri-ciri membezakan antara guru yang  profesional dengan guru yang tidak; rujuk senarai semak berikut, dan marilah kita menukar sikap, persepsi dan posisi kita agar menjadi lebih perkasa dan berwibawa dalam melaksanakan tugas mulia sebagai seorang guru.

 

   Guru yang Profesional                                    Guru yang tidak Profesional  



  Mula kerja awal pagi                                        Mula kerja setelah loceng berbunyi



  Sedia bergerak awal hari                                  Sudah pun letih di awal pagi



  Mengurus dengan merancang                          Mengurus dengan krisis 



  Ada perancangan & matlamat                         Ada berbagai alasan



  Berpakaian secara 'profesional'                           Berpakaian selekeh



  Guna waktu luang sebagai waktu                    Guna waktu luang mengumpat dan mengeji

  'kerja'



  Suka ikuti latihan kerana berikan perkem-        Komplen tentang latihan dan pelik menga-

  bangan profesional                                           pa ianya perlu



  Dalam mesyuarat mereka duduk di mana         Dalam mesyuarat mereka duduk di tepi

  mereka boleh belajar                                        pintu



  Cari perkara-perkara untuk dipuji                    Cari perkara-perkara untuk dikomplen



  Berusaha cari punca sesuatu tidak berjalan      Salahkan orang lain bila sesuatu tidak ber-

                                                                           jalan



  Sedia buat keputusan dan selesai masalah       Bertanya  "Apa patut saya buat?"



  Lihat pentadbir sebagai rakan kongsi                Lihat pentadbir sebagai tempat  

  dalam pendidikan                                              melepaskan  geram



  Melanggan dan membaca jurnal profesional     Fikir jurnal profesional sebagai membazir-

                                                                            kan wang sahaja



  Mendapat penghormatan setiap hari                 Merungut kerana tidak dapat penghor-

                                                                            matan



  Buat yang terbaik                                              Buat apa orang lain buat



  Kembangsuburkan kerjaya mereka                   Bimbang tentang kerja mereka



  Rasa dan bertindak 'empowered'                         Rasa dan bertindak seperti mangsa



  Sedia untuk belajar dan dapatkan bantuan       Tidak sedia belajar atau terima bantuan



  Belanja wang untuk perkembangan profesio-   Enggan belanja untuk perkembangan

  nal atau untuk bilik darjah                                profesional atau untuk bilik darjah



  Percaya anak didik boleh belajar, dan lihat       Percaya anak didik degil, tidak

  tugas mereka membantu proses ini                    bertanggungjawab, dan malas

                 

  Melihat pekerjaan 'mengajar' sebagai satu         Melihat kerja mengajar sebagai satu kerja

  profesion paling mulia.                                      dengan gaji lumayan sahaja.



  Memenuhi Tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar"


Objektif kita akhirnya ialah memenuhi tuntutan konsep "guru mengajar murid belajar" dapat direalisasikan pada tahap paling optimum dan dapat pula kita buktikan menerusi  kerja-buat kita setiap hari dan waktu. Bagi mencapai tahap ini semua kita mestilah membetulkan iman (kepercayaan), bual (percakapan), dan amal (segala perlakuan) kita sentiasa selaras antara ketiga-tiga aspek tersebut.

 Memenuhi tuntutan "Guru Mengajar Murid Belajar" pula perlukan semua kita menjadi guru-guru yang sebenar guru "Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu"; yang membawa erti seseorang guru itu penuh iltizam, dedikasi, komited dan bertanggungjawab tidak akan mengkhianati tugasnya dan murid-muirdnya. Prinsipnya ialah guru-guru mesti faham bahawa tugas 'mengajar dan mendidik' pekerjaan yang sangat mulia. Janganlah rosakkan 'kemuliaan tugas' ini dengan perangai dan gelagat yang tersasar  jauh daripada etika dan adab seorang guru yang mursyid. Guru-guru mestilah menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar (tanpa muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah.

Guru-guru begini tidak akan cepat menyalahkan keadaan dan tempat sebelum menyalahkan diri terlebih dahulu di samping berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri.
Guru Sebenar Guru tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan organisasi seperti: selalu ponteng; banyak beri alasan dan helah; sering mengelakkan diri daripada   menerima tugas dan tanggungjawab; menganggap sekolah hanya tempat kerja 'sementara' atau selalu beri alasan 'tidak cukup masa'. Guru sebenar guru tidak menunjukkan ciri-ciri 'orang malas' ketika di dalam kelas tetapi sebaliknya mengajar dengan penuh ceria dan  dengan penuh semangat serta bersungguh-sungguh, memeriksa buku-buku tanpa bertangguh.

 Penutup

 Fahamlah kita bahawa kecemerlangan organisasi dan institusi amat bergantung kepada mutu jatidiri individu yang berada di dalamnya sama ada ia seorang guru, pembantu  tadbir, pembantu am rendah atau pun pekerja rendah awam; yang semuanya mempunyai 'amanah tugas' dan tanggungjawab yang sudah jelas dan terperinci yang tidak boleh kita  dakwa bahawa kita tidak tahu mengenainya.

Marilah kita menginsafinya dengan setulus ikhlas bahawa sebarang 'defisit  pembelajaran' misalnya adalah kerana kita selaku guru-guru yang tidak mengutamakan  masa sebaik mungkin semasa mengajar selama ini. Bagaimana pula kita akan dapat memenuhi tuntutan bekerja 8 jam sehari seperti yang sedang diura-urakan oleh pihak Kementerian Pendidikan jika waktu bekerjas 5½ jam sekarang ini pun kita sudah "lesu dan layu?"ٱ

 Rujukan

   Omar Mohd Hashim (1993). Pendidikan: Persoalan, Penyelesaian dan Harapan. Dewan  

  Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

  William E. Schneider, Ph.D., (1998). Why Good Managements Ideas Fail

   -  Understanding Your Corporate Culture. Paradigm Shift International USA.

   ___________________(2001); Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.

   Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.