TEKS KHUTBAH JUMAAT
SEMPENA HARI GURU KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA TAHUN 2012
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, Tanggal 16 Mei pada setiap tahun merupakan hari yang amat bermakna bagi setiap warga guru. Guru pasti diingati, dihargai dan diraikan dengan sewajarnya.
Tidak kira siapa pun yang pernah mengajar kita, banyak atau sedikit ilmu yang dicurahkan, tidak kira apa bangsa atau agamanya, mereka tetap guru kita. Merekalah yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira supaya kita ini menjadi insan yang berilmu. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk kita mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap pembangunan masyarakat dan negara. Tema Sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”.
Guru Inovatif adalah
guru yang mampu membuat transformasi (perubahan) atau mencipta sesuatu yang
baru samada dalam bentuk sumber atau kaedah yang sesuai dengan perkembangan
semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda yang lebih dinamik. Atas dasar
itu, guru haruslah berperanan untuk menggarap elemen-elemen inovasi di dalam
melonjak transformasi pendidikan negara melalui idea dan kepakaran dalam proses
pengajaran dan pembelajaran dengan mengaplikasi segala sumber melalui kaedah yang
paling kreatif dan berinovasi. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 190:
Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal.
Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa ayat ini mengandungi perintah Allah kepada manusia supaya menggunakan akal dan fikiran, untuk melakukan penelitian serta penyelidikan, terhadap dalil kekuasaan Allah di muka bumi. Budaya mengkaji dan bermuhasabah ini diharapkan mampu menjana guru-guru yang berinovasi. Renunglah dengan mata hati terhadap hakikat dan hikmah kejadian segala ciptaan Allah bagi mengukuhkan keimanan kita. Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Usaha melahirkan modal insan yang beriman dan bertakwa bukanlah suatu usaha yang mudah dan dipandang remeh.
Usaha tersebut
memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Justeru atas tuntutan tersebut, para
guru telah banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit tanpa mengenal erti
penat lelah dan perasaan jemu bagi memastikan anak-anak didiknya menjadi insan
yang berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan. Selain daripada
itu juga para guru berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghapuskan
kejahilan dan kecelaruan yang sering kali bermain dibenak fikiran anak-anak
didiknya.
Di sini jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh para guru walaupun kita lihat pada hari ini ke mana sahaja mereka dihantar untuk berkhidmat sama ada di bandar-bandar besar, di kampung-kampung, di pedalaman-pedalaman atau di pulau-pulau namun demi menyahut seruan untuk mendidik anak bangsa yang tercinta mereka sanggup dan menerima cabaran tersebut. Dengan berkat kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan yang ditunjukkan maka akhirnya lahirlah para ulama., doktor, jurutera, pensyarah, peguam mahupun usahawan yang tersohor di tengah-tengah masyarakat.
Kita tidak dapat
menafikan bahawa guru berperanan menjadi agen perubahan di dalam masyarakat.
Para guru berganding dengan ulama’ dan umara’ terus menerus tanpa putus asa,
menggerakkan usaha membangun modal insan terbilang. Ini termasuklah membangun
minda anak-anak melalui ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah sehinggalah kepada
ilmu-ilmu kehidupan,
termasuklah ilmu sains
dan teknologi. Guru bukan hanya sekadar mengajar, malah guru turut mendidik dan
membentuk akhlak-akhlak terpuji. Manakala anak-anak pelajar yang ingin
dilahirkan pula bukan sahaja hebat inteleknya, malah berintegriti sebagaimana
akhlak baginda Rasulullah s.a.w. Itulah sebenarnya antara perkara yang telah
digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Sidang Jemaah yang dihormati,
Islam menggalakkan kita
untuk menuntut ilmu dan mengajarkannya pula kepada insan yang lain. Wahyu
pertama yang diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. melalui surah
al-’Alaq memberikan penekanan tentang kepentingan membaca dalam usaha
melengkapkan diri dengan ilmu. Tambahan pula, kelebihan orang yang berilmu
telah dirakamkan melalui firman Allah di dalam surah al-Mujadalah ayat 11
berbunyi:
“Maksudnya: Allah akan
meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi
ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. Dan Allah Maha mengetahui apa yang
kamu kerjakan.” Imam Shafie pernah berpesan dalam Kitab Diwan Imam Assyafie:
“Saudaraku, engkau tidak akan memperolehi ilmu melainkan dengan mempunyai enam
perkara: Kecerdikan, minat, kesungguhan, perbelanjaan, mendampingi guru dan
masa yang panjang”
Sidang Jumaat yang dihormati, Era globalisasi dan cabaran semasa menyebabkan dunia pendidikan anak-anak kita menjadi lebih terbuka. Penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi seperti penggunaan laman sosial yang tidak terkawal, serta pengaruh negatif media massa mempengaruhi tindakan anak-anak pelajar.
Maka, berleluasalah
gejala buli, ponteng, merokok, berzina, pembuangan bayi di dalam kalangan
pelajar sekolah serta lain-lain masalah sosial sepertimana yang dilaporkan di
dada akhbar. Kita tidak boleh meletakkan peranan membentuk akhlak dan peribadi
anak-anak kita hanya kepada guru-guru di sekolah sahaja. Ibu bapa serta ahli
masyarakat sewajarnya memainkan peranan secara kolektif.
Gunakanlah ruang
permuafakatan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menjana idea dan
menyelesaikan masalah. Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak diberikan kasih
sayang dan perhatian secukupnya. Usaha mendidik anak-anak sebenarnya bermula
dari rumah, terutamanya dalam mendirikan solat secara istiqamah, membaca,
memahami serta menghayati isi kandungan al-Quran. Ianya selari dan bertepatan
dalam usaha mengukuhkan pelaksanaan program j-QAF dan aktiviti-aktiviti dakwah
di sekolah, sekaligus membantu usaha menyemarakkan syiar Islam yang berteraskan
kepada al-Quran dan as-sunnah.
Rasulullah s.a.w.
bersabda: اُغْدُ عَالِماً أَوْ مُ عَلِّماً اَوْ مُسْ
مِعاً اَوْ مُحِبًّا وَلاَ تَكُنِ الْخَامِسَةَ هْلِكْ
Maksudnya: Jadilah kamu
orang yang berilmu, atau orang yang mempelajari ilmu, atau orang yang mendengar
dalam majlis ilmu, atau
orang yang cintakan ilmu. Dan jangan kamu menjadi orang yang kelima, nescaya kamu akan binasa (Riwayat at-Tabrani) Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, Selain daripada ibubapa, masyarakat juga mestilah memainkan peranan yang penting dalam usaha menyokong para guru untuk membentuk dan mendidik generasi muda hari ini. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat ialah mewujudkan kembali budaya tegur menegur dan nasihat menasihati bagi meningkatkan penghayatan nilai murni serta mengurangkan amalan negatif dalam kalangan remaja.
Bagi ibu bapa pula
janganlah cepat melatah atau melenting sekiranya anak kita ditegur atau
dinasihati oleh ahli masyarakat, sebaliknya ambillah ia sebagai satu teguran
yang positif dan membina demi kebaikan bersama. Para pengamal media sama ada
media elektronik atau media cetak juga diharapkan dapat memainkan peranan yang
lebih besar di dalam menyediakan rancangan dan bahan-bahan yang boleh membina
dan membangunkan modal insan. Unsur hiburan secara keterlaluan yang banyak
dipaparkan dan dipertontonkan melalui kedua-dua saluran media tadi akan
menimbulkan kesan negatif terhadap semua lapisan masyarakat terutama kepada
golongan remaja.
Sehubungan itu
penguatkuasaan dan tapisan kepada unsur negatif perlulah dipertingkatkan
sebagai usaha membendung masalah sosial dalam kalangan anak-anak pelajar.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Suasana harmoni dan hubungan mesra di antara
guru-guru, para ibu bapa dan masyarakat perlu diperkukuhkan demi melicinkan
proses pendidikan. Untuk tujuan tersebut marilah sama-sama kita membudayakan perkara-perkara
berikut:
Pertama : Janganlah
diperbesar-besarkan atau disensasikan isu-isu yang remeh temeh sebaliknya
selidikilah terlebih dahulu punca asal sesuatu isu tersebut dan selesaikanlah
secara bijaksana kerana guru juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada
melakukan kesilapan. Sepatutnya kita perlu saling mengukuhkan persefahaman
antara satu sama lain.
Kedua : Budayakan amalan perundingan dan perbincangan sepertimana tuntutan Islam dalam menangani sebarang masalah. Ianya bertujuan bagi mengelakkan timbulnya pelbagai kesan yang tidak diingini kepada semua pihak. Akibatnya, anak-anak pelajar juga yang menjadi mangsa keadaan.
Sidang Jumaat yang
dihormati; Akhirnya, mimbar Jumaat pada hari ini menyeru dan berpesan, marilah
kita menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru melalui tindakan berikut:
Pertama : Mendoakan kebahagian buat guru-guru, sama ada yang masih hidup atau
yang telah meninggal dunia.
Kedua : Menziarahi
guru-guru untuk mengeratkan silaturrahim. Ketiga : Menghulurkan apa juga bentuk
sumbangan mengikut kemampuan masing-masing kepada institusi pendidikan. Keempat
: Berkatalah dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru.
Kelima : Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru dan semua insan yang pernah
menabur bakti dan budi kepada kita, sehingga kita menjadi siapapun pada hari
ini.
Buat para guru pula, teruslah beristiqomah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, mudah-mudahan akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. TERIMA KASIH CIKGU. Firman Allah dalam surah al-’Alaq ayat 1 – 5:
Maksudnya: Bacalah
(Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia
menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha
Pemurah, Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia
apa Yang tidak diketahuinya.
بَارَكَ ااُ لِىْ وَلَكُمْ ىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَ
فَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا يْوِ مِنَ الآيَاتِ
وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَ قَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ
تِلاَوَتَوُ إِنَّوُ ىُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُولُ
قَ وْلِى ىذَا وَأَسْ غْفِرُ ااَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ،
وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ،
وَالْمُؤْمِنِيْنَ
وَالْمُؤْمِنَاتِ، اسْ غْفِرُوهُ إِنَّوُ ىُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيم.
No comments:
Post a Comment