MEMPERKASA GURU SEBENAR
GURU
KE SEKOLAH TIDAK JEMU
MENGAJAR TIDAK LESU
"The mediocre
teacher tells. the good teacher explains.
The superior teacher demonstrate.
the great teacher inspires."
~
William A. Ward
Pendahuluan
Mempersiapkan generasi pelajar hari ini bagi menghadapi dan
menangani cabaran-cabaran baru terutama tuntutan-tuntutan sebagai "knowledge worker" dalam era revolusi informasi abad ke-21
terletak di tangan dan dibahu seluruh kaum guru dan pendidik di pelbagai peringkat lebih-lebih lagi peringkat
persekolahan rendah, amat memerlukan kesedaran yang tinggi bagi memperkembangkan
dan mempertingkatkan setiap aspek profesionalisme keguruan ke suatu tahap yang
tidak mungkin lagi dipertikai dan diperlekehkan oleh masyarakat dan negara,.
Usaha
terbaru Kementerian Pendidikan
Malaysia dengan
memperkenalkan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan mulai tahun 2001
adalah manifestasi dan bukti kepada komitmen bagi menggerakkan semua pihak
untuk mencapai kecemerlangan pendidikan negara sebagai pusat kecemerlangan
ilmu, sekali gus memartabatkan pendidikan yang bertaraf dunia.
Oleh
kerana sifat sesuatu yang baru itu sering dipandang serong dan diragui, maka
begitu juga persepsi sebahagian golongan pendidikan dan pentadbir pendidikan
sehinggakan wujud semacam 'desakan' bagi mempermudahkan dan
pengubahsuaian kepada instrumen Penarafan Kendiri Sekolah Berasaskan Standard Tinggi Kualiti
Pendidikan ini, adalah suatu sikap yang kurang wajar dalam konteks kita hendak memartabatkan
pendidikan dan profesion keguruan.
Bagaimana
Fenomena Pendidikan
dan Pengurusan Sekolah
masa kini?
Menurut
Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan Jemaah Nazir Sekolah (2001) menyebut
bahawa; "Orang ramai semakin kerap mempersoalkan kualiti pendidikan di
sekolah, seolah-olah tidak lagi menaruh keyakinan kepada kewuibawaan sekolah dalam
hal ehwal mendidik, terutama apabila mendapati kelakuan murid lepasan sekolah
tidak seperti yang diharapkan oleh masyarakat dan negara. Kecemerlangan pada
sijil peperiksaan mereka secara realitinya tidak memperlihatkan kematangan
berfikir, kepetahan berkomunikasi, ketokohan sebagai pemimpin, kemurnian
tingkah laku, keupayaan mencipta dan menyumbang kepada pemajuan negara-bangsa
dan global,"
(hlm.24).
Fenomena
lain ialah wujudnya keadaan kepakaran dan profesionalisme guru tidak kemas kini
dan relevan ke arah pembangunan diri insan yang menyeluruh dan seimbang seperti
yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Kajian pihak Nazir Sekolah juga mendapati kelesuan
proses pendidikan ini ada kaitan secara sebab-akibat dengan amalan
pentadbiran organisasi
persekolahan yang lebih menguruskan hal-hal mekanikal seperti pengendalian
perjawatan, gaji dan bangunan.
Oleh
itu kesempurnaan yang menonjol di sekolah bukan pada pelakuan manusianya tetapi
pada hal-hal kebendaan, maka terhasillah keluaran sekolah yang berkembang di
tahap persepsi atau tanggapan fenomena luaran sahaja sehingga kurang upaya
menyelesaikan masalah dan membuat keputusan rasional dan membangun.
Fenomena
"Low Performing Schools"?
Salah
satu kayu ukur bagi
menentukan sesebuah sekolah itu baik, maju, meningkat dan membangun hingga ke
tahap cemerlang (atau sebaliknya) adalah menerusi pencapaian
peperiksaan. Berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolh Rendah (UPSR)
tahun 1999, sejumlah 1,919 buah sekolah rendah telah dikenalpasti sebagai "sekolah
prestasi rendah" yakni sekolah-sekolah yang pencapaian peratus
kelulusannya di bawah 30%
Dalam
hubungan penarafan sekolah di bawah Standard Tinggi Kualiti Pendidikan
ini pula pihak Jemaah Nazir Sekolah telah mendapati bahawa penilaian keseluruhan
sekolah-sekolah setakat ini berada pada tahap tiga iaitu lemah dalam indeks
komposit tahap sekolah dengan skor antara 30 hingga 49 peratus.
Kemudian
kita didedahkan pula dengn dapatan hasil kajian sepasukan penyelidik Universiti
Malaya terhadap "keberkesnan 3M" di antara
sekolah-sekolah kebangsaan dengan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina
khasnya, yang juga sekali lagi menampakkan "kelemahan dan
ketidakberkesanan" yang ketara sekali berlaku di sekolah-sekolah
kebangsaan kita.
Lama
sebelum ini pun YAB Perdana Menteri Dato' Seri Doktor Mahathir Mohamad pernah "menyelar"
sikap "tidak serius" yang terdapat di kalangan
segelintir Guru Besar di sekolah-sekolah kebangsaan dan senario negatif dan "kurang
menarik" yang wujud dan berlaku di sekolah-sekolah ini. Apakah
tidak ada kaitannya apabila kita memperkatakan prestasi dan kualiti
pendidikan ini dengan masalah dan dilema yang dihadapi seperti isu-isu
kegagalan memenuhi kuota 55% kemasukan pelajar-pelajar Melayu ke IPTA kerana
pencapaian yang rendah di dalam peperiksaan SPM dan STPM?
Rumusan
kajian-kajian ini menyatakan bahawa pelajar-pelajar Melayu tertinggal dalam
pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi. Untuk mengatasinya kita perlu
berpatah balik jauh ke belakang. Usaha membentuk pelajar-pelajar Melayu yang
berdaya saing perlu bermula di peringkat sekolah kebangsaan (Isahak Haron,
2001). Nah begitu lantang sekali seruan ini dan sudah sewajarnya disambut bukan
sahaja dengan semangat ingin menebus maruah malah memartabatkan pendidikan berkualiti di kalangan anak-anak Melayu.
Maka inilah yang hendak dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan menerusi Standard Tinggi Kualiti
Pendidikan.
Ke
Arah Pembaharuan Tema dan Sistem Pendidikan
Seperti
yang diketahui abad ke-21 adalah era maklumat maka amatlah perlu kita dapat "melihat jauh ke
depan" dalam konteks Wawasan 2020 dan perubahan-perubahan yang dibawa
oleh era cyberspace, dalam usaha mewujudkan generasi pelajar yang berminda saintifik, kreatif, inovatif, mencintai ilmu, progresif, berbudaya fikir, di
samping berakhlak dan beradab
(Wan Liz Ozman Wan Omar, 2000).
Pembaharuan
perlukan perubahan. Perubahan
yang sangat utama dan penting ialah perubahan paradigma, sikap dan perlakuan
agar setiap orang mampu berfungsi dan bersaing secara cekap dan berketrampilan.
Satu daripadanya ialah konsep 'belajar sepanjang hayat' perlu
menjadi amal budaya setiap pelajar menguasai 'belajar cara belajar'
(UNESCO, 1995) dari segi:
·
Belajar untuk mengetahui (Learning to Know)
·
Belajar untk membuat (Learning to Do)
·
Belajar untuk menjadi insan sempurna (Learning to Be)
·
Belajar untuk hidup bersama (Learning to Live
Together)
Noor
Azman Ibrahim (1998) menyenaraikan enam tema penting sistem pendidikan abad ke -21 dengan pembelajaran cara baru
di mana pembelajaran tidak
lagi merupakan satu proses yang dikendalikan oleh institusi pendidikan (Tapscott, 1996) Enam tema tersebut
adalah:
·
Tema 1 : Pekerjaan dan pembelajaran makin menjadi
perkara yang sama.
·
Tema 2 : Pembelajaran makin menjadi cabaran seumur
hidup.
·
Tema 3 : Pembelajaran beranjak dari sekolah dan
universiti formal.
·
Tema 4: Beberapa institusi pendidikan
bekerja keras ke arah kesesuaian dengan
·
perubahan.
·
Tema 5 : Kesedaran organisasi diperlukan untuk
mewujudkan organisasi pembelajaran
(learning organization).
·
Tema 6 : Media baru boleh mengubah pendidikan
dengan mewujudkan infostruktur
bekerja belajar.
Kewibawaan yang Dipersoalkan
Apakah ertinya apabila Tapscott (1996) menyatakan
bahawa pembelajaran tidak
lagi dikendalikan oleh institusi pendidikan awam (sahaja)? Di Amerika Syarikat
murid-muird yang belajar di rumah (home schooling) semakin
meningkat dari tahun ke tahun; merupakan fenomena baru sejak
beberapa dekad lalu sebagai manifestasi kepada 'ketidakpercayaan' ibu
bapa dan orang awam terhadap mutu dan prestasi pendidikan yang
dilaksanakan oleh sekolah-sekolah awam.
Patricia M. Lings (1999) melaporkan sesi
persekolahan tahun 1990-1991 terdapat 250,000 hingga 350,000 orang; sesi tahun
1995-1996 pula seramai 700,000 hingga 750,0000 orang kanak-kanak yang
mengikuti homeschooling ini, dan manakala bagi sesei 1997-1998 telah
mencecah seramai 1,000,000 orang kanak-kanak menyertai kaedah dan pendekatan
belajar di rumah ini.
Salah satu daripada rtiga sebab mengapa
berkembangnya konsep belajar di rumah (homeschooling) ini menurut Erica
Clery (1998), ialah wujudnya kebimbangan berlakunya 'kerosakan' mental,
fizikal dan spiritual ke atas kanak-kanak yang belajar di sekolah-sekolah di
bawah tadbiran dan seliaan kerajaan. Tidakkah 'bunga-bunga' kepada
senario yang sama akan berlaku suatu hari nanti di negara kita sendiri, apatah
lagi setelah mencapai status
negara maju seperti yang diwawaskan? Tidakkah juga 'gejala-gejala
kerosakan' ini sudah pun wujud dan berlaku dan saban tahun ianya
semakin parah dan berdarah sehingga sistem pendidikan kita didakwa 'sudah
ketinggalan zaman' oleh kesatuan perguruan kebangsaan Malaysia?
Dengan yang demikian kita selaku guru-guru perlulah
menyedari, memahami, dan menghayati betapa konsep penambahbaikan yang
berterusan itu perlu dilaksanakan tanpa garis penamat sebagaimana gagasan yang
dibawa menerusi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.
Memperkasa Diri
Guru adalah nadi kepada sekolah. Profesionalismenya adalah kunci kepada
peningkatan kualiti (Jemaah Nazir, 2001). Kualiti yang dimaksudkan bukan sahaja
kepada kualiti proses malah yang lebih utama ialah kualiti outputnya (hasil).
Perkara ini tidak mungkin dicapai jika individu, kumpulan, kelompok dan organisasi tidak cekap dan tidak berkesan.
Maka itulah sumber manusianya perlu dibangunkan secara bersepadu menerusi latihan-latihan tertentu bagi
memastikan setiap individu itu dapat mengembangkan potensi dan bakatnya.
Pengalaman-pengalaman yang diterima menerusi program pembangunan profesional ini sama ada ianya bersifat latihan-latihan khusus atau pun pengalaman sebenar
di tempat kerja sudah barang tentu membolehkan atau mengupayakan guru-guru
bertindak atau berpelakuan
secara berkesan untuk
meningkatkan kualiti pendidikan sekolahnya.
Menjadi
guru yang perkasa bukanlah bererti perkasa dari segi fizikal dan tenaga sahaja
tetapi yang lebih penting ialah keperkasaan dari aspek profesionalismenya, prinsipnya, keutuhan keperibadiannya, kecekapan dan ketrampilannya,
mental dan keintelektualannya,
kestabilan emosi dan spiritualnya serta kebijaksanaan dan kepemimpinannya. Oleh
itu menjadi seorang guru yang perkasa amat dipengaruhi oleh tahap tinggi atau
rendahnya ciri-ciri dan prestasi profesionalismenya; teguh, tegas dan utuh atau
rapuh, lemah dan tidak tegas pegangan hidup dan prinsipnya; luas, tinggi dasn
mendalam atau sebaliknya dari segi intelektualnya yang digambarkan menerusi
kesedaran-diri dan faham-kendiri yang mendasari kebijaksanaan dan hemah dalam
kepimpinan. Seorang guru yang perkasa juga seorang guru yang cekap dan
berkesan.
Eilane
(2000) ytelah mengenalpasti beberapa ciri seseorang guru yang
amat berkesan (highly effective) yang dikategorikan kepada tiga
aspek iaitu:
·
Ciri peribadi yang menjelaskan perwatakan.
·
Ciri mengajar yang memberikan hasil.
·
Ciri intelek yang menunjukkan ilmu, sedar-diri dan
faham-kendiri.
1.
Ciri Peribadi: seorang yang 'bermatlamat' (mission-driven)
dan juga seorang yang 'asyik' dalam pekerjaannya. Kedua , ianya bersikap
positif dan 'real' yakni yakin dalam apa pun yang dilakukan di samping
sabar menerima 'kenyataan' biar pun pahit untuk ditelan. Ketiganya ia
merupakan seorang 'guru-pemimpin'; di samping mengajar ia juga
membimbing dan menunjuk ajar bukan sahaja anak didik malah rakan sejawat dan
siapa sahaja.
2. Ciri Mengajar: seorang yang memiliki dan sentiasa
menerapkan aspek 'dengannya' ("with-it-ness") dalam apa jua yang dibuat atau apa jua yang murid-muridnya
mesti buat. Ia juga mempunyai stail yang tersendiri, sesuai dengan semua
keadaan dan persekitaran, nilai dan budaya, peraturan dan undang-undang. Ianya juga memiliki kepakaran memotivasi serta kebekesanan
dalam pengajaran dan
pembelajaran.
3. Ciri Intelektual: seorang yang suka 'membaca buku', dan
mempunyai 'mental life' yang segar, berkembang dan
bersifat 'berpenyugnguhan kendiri' (self-actualization)
dengan minda yang sihat dan
terbuka, melihat alam dan kehidupan di dalam ruang lingkup yang luas dan
menyeluruh (banyak) di samping melihat, menganalisis, mensintisis dan menilai
satu di dalam yang banyak.
Memperkasa
dengan Penilaian dan Berpusatkan Prinsip
Guru
sering menilai anak didiknya tetapi pernahkah kita menilai diri sendiri?
Sedarkah kita sebagai guru yang kerjanya 'mengajar sepanjang hayat'
(sebelum bersara wajib) kita telah tidak cukup melakukan satu perkara sepenting ini? Kalau begitu bagaimana kita tahu dan boleh
meningkatkan tahap profesionalisme kita?
L. Dee
Fink (1999), dalam satu artikelnya "Evaluating Your Own Teaching"
menyebut:
" Assuming that no one is perfect and therefore everyone has room for
improvement, evaluation is the means by which ewe try to identify which
aspects of our teaching are good and which need to be changed. The
question then arises as two who should take responsibility for doing this
evaluation. My believe is that evaluation is an inherent part of good teaching.
Therefore it is the teacher himself or herself who should take primary
responsibility for doing the evaluation."
"To improve is to change. And to be perfect
is to change often",
demikian ujar Winston Churchill. Jadi titik tolak bagi melakukan perubahan, dan kemudian mencapai kemahiran
dan kesempurnaan memakan masa dan dayausaha. Bagi mencapai perubahan yang
berjaya dan berkesan perlukan seseorang itu bukan sahaja menambah pengetahuan
dan kemahiran baru malah sering pula memerlukan kita belajar semula sesuatu
konsep, kaedah dan teknik yang mungkin kini sudah usang. Tidak ada orang yang
tidak boleh melakukan aspek belajar semula ini kecuali seseorang itu sudah
merasa dirinya sudah lengkap segala-galanya seperti kata Epictetus (55-135 M); "It
is impossible for anyone to begin to learn what he believes he already
knows." Pengalaman berserta beraneka kemahiran yang dititipkan oleh
guru menerusi proses pengajaran dan pembelajaran umpamanya bermaksud melalukan
perubahan sikap, seterusnya mengubah pemikiran dan paradigma sehingga
terciptalah tangkah-laku yang dihasratkan itu tercapai. Menurut Dee Fink lagi
penilaian bagi menghasilkan perubahan ke arah peningkatan profesionalisme individu seseorang guru itu amat besar faedahnya berdasarkan tiga
sebab.
1. Pertama,
tanpa mengambil kira bagaimana baik atau buruk kita sebagai guru-guru, kita
semua mempunyai potensi, menjadi lebih baik lama-kelamaan. Sementara sebahagian
guru-guru bertambah baik dan hampir menemui potensi mereka, sayang sebahagian
yang lainnya mengalami peningkatan yang kecil sahaja sewaktu peringkat awal
kerjaya dan kemudiannya seolah-olah 'mendatar' kualitinya malah
kadang-kadang 'merosot'. Kenapa? Natijahnya terdapat perbezaan pokok di
antara mereka yang berjaya dengan mereka yang gagal meningkat, adalah
disebabkan golongan pertama itu mengumpul maklumat mengenai pengajaran mereka
dan mengambil daya usaha bagi penambahbaikan sesetengah aspek daripadanya -
setiap kali mereka mengajar.
2.
Sebab kedua mengapa perlunya membuat penilaian adalah bagi mendokumentasikan
kualiti seseorang bagi rujukan pihak lain, yang perlu mengetahui track
record seseorang sepanjang kerjayanya. Satu cara sahaja guru-guru boleh membekalkan
maklumat seumpama ini iaitu dengan cara mengumpulnya, dan inilah
penilaian. Dengan kaedah ini juga dapat membantu seseorang guru itu memahami
keberkesanan pengajarannya dengan lebih baik lagi.
3.
Sebab ketiga pula merupakan satu keperluan yang bersifat peribadi dan keinginan
manusia untuk menilai. Hal ini adalah bagi kepuasan mental dan psikologikal
diri sendiri. Melakukan sesuatu kerja dengan baik adalah satu perkara; manakala
satu perkara lagi dengan memiliki maklumat yang padu, kita tahu kita telah
melakukan kerja dengan baik. Pengetahuan dan kepastian ini hanya mungkin jika
kita membuat penilaian yang rapi dan telus.
Antara "Powerful" atau "Powerless"
Selepas
kita melakukan penilaian baharulah kita tahu status atau kedudukan tahap dan
taraf ketrampilan kita selaku guru yang bagaimana; cergas dan cerdas; pantas dan tangkas; cekal dan tabah; mengurus
masa atau membuang masa? Kemudian baru kita boleh "memilih"
ada untuk menjadi guru yang "powerful" atau "powerless".
Tentulah bagi menjadi seorang
guru yang perkasa kita mestilah seorang yang "powerful" bukan sebaliknya. Jadi pilihan di tangan kita.
Perasaan
dan perlakuan "tidak berdaya" ("powerless") boleh berlaku daripada sekecil-kecil insiden
atau peristiwa sehingga kepada masalah atau perkara yang besar. Jika kita gagal mengatsasi atau membiarkan
keadaan "tidak berdaya" ini kita akan menjadi lebih tidak
berdaya saing, lemah jiwa dan raga, lemah mental dan spiritual akhirnya kita melihat
dunia dan kehidupan tidak memberi erti apa-apa, selanjutanya kita kecewa dan
sengsara serta merintih nasib dan takdir. Apa yang kita buat apabila
kita memilih menjadi seorang yang "powerless" ialah; tak
kisah, tunggu, lengah atau lewatkan, tidak ambil tindakan atau "buat
de' "sahaja, hampa, jadi tidak peduli, abaikan dan jadi seorang
yang acuh tak acuh.
Kemudian
apa pula yang kita dapat bila kita merasa "powerless";
status quo, hubungan yang Kalah/Menang (Lose/Win), tidak dijangka/hasil yang
tidak diketahui,
ketidakpastian, hasrat dan angan-angan (fantasi), dan merosot keupayaan
seterusnya prestasi jadi rendah.
Jadilah Seorang Yang Powerful
Jelas
menjadi seorang yang "powerless" tidak menjanjikan sebarang kebaikan
dan faedah sama ada dari segi peribadi, kumpulan, kelompok atau pun organisasi
dan kerjaya yang kita ceburi. Tentulah kita memilih untuk menjadi "powerful"
dan berjaya dalam semua bidang dan aspek kehidupan berkeluarga, sosial dan
kerjaya dan dapat menyumbang kepada kesejahteraan bangsa dan negara menerusi
tugas mendidik yang kita hayati ini.
Dalam
menajdi "powerful" kita perlu kenal tiga "kuasa"
yang masing-masing ada baik dan buruknya iatu i) kuasa paksaan, ii) kuasa
utiliti dan iii) kuasa berpusatkan prinsip (principle-centered).
Fokus
kita ialah kepada kuasa
berpusatkan prinsip (principle-centered power) bagi mencapai hasrat
menjadi guru yang perkasa; guru sebenar guru -- ke sekolah tidak jemu
mengajar tidak lesu! Kuasa berpusatkan prinsip adaah berasaskan apa yang anda boleh buat
dengan orang-orang lain. Kuasa berpusatkan prinsip juga ertinya berasaskan 'hormat':
individu yang dihormati akan
dipercayai, disegani dan menjadi inspirasi kepada orang-orang lain, dan oleh
itu kepemimpinannya diterima sepenuh hati. Oleh itu guuu-guru yang perkasa berpusatkan prinsip ini akan menjurus
kepada kawalan-kendiri, tingkah-laku beretika dan kehidupan yang proaktif
(Blaine Lee, 1997).
Salah satu prinsip penting dalam mengurus diri dan organisasi ialah prinsip samarata atau adil (kepada
orang lain dan kepada diri).
Oleh itu satu keperluan yang mesti ada ialah keberanian menghadapinya, serta
kemampuan dan keupayaan
membuat teguran dan ulasan bagi membetulkan mana-mana individu yang tersasar
dari landasan dan terkeluar dari tujuan dan matlamat organisasi. Di sini
prinsip 'Bukan Kepada Siapa Betul Tetapi Kepada Apa Yang Betul' hendaklah menjadi pegangan. Intipati
kepada prinsip ini ialah apa yang betul atau apa yang tidak betul bukan
berdasarkan seseorang itu ketua (boss) atau penngikut (subordinate),
tetapi kepada apakah persoalannya, apakah kesan atau implikasinya, atau apakah
tafsiran dari segi falsah, peraturan, dan objektivitinya, di mana matlamat
akhirnya semua orang akan buat perkara yang betul dan tidak dipertikaikan lagi.
Kesan dan Hasil Kuasa Berpusatkan Prinsip
Guru-guru yang perkasa berpusatkan prinsip ini
akan memberi pengaruh kepada berlakunya transformasi budaya belajar dan
mengajar yang hebat. Transformasi ialah perubahan, yakni perubahan yang
disebabkan wujudnya perhubungan di mana 'hormat' menjadi asasnya.
Manusia tidak setia kepada logo -- mereka setia kepad orang lain (pemimpin
berprinsip). Blaine Lee (1997) dalam bukunya The Power Principle: Influence
With Honour menyenaraikan empat kesan yang terhasil daripada kuasa
berpusatkan prinsip ini sebagaimana berikut:
1. Kuasa berkekalan : Apabila kesan dan
pengaruh orang perkasa ini tetap bersama atau di alam diri walaupun orang itu
sudah tiada di dunia ini. Ertinya pengaruh orang yang perkasa ini meninggalkan
kesan yang bukan sedikit malah berterusan sehingga pengaruh ini di 'turunkan'
pula keapada generasi seterusnya. Tidak seperti kesan daripada kuasa
paksaan yang cuma berkesan selagi orang takut. Juga tidak seperti kesan
kuasa utiliti, ia datang dan ia pergi dan sangat bersifat sementara. Tetapi
kuasa berpusatkan prinsip mewujudkan perhubungan yang berkekalan -- ia tidak
terhenti bila pengurusan baru mengambil alih, tidak juga menjadi ketinggalan
zaman bila muncul sesuatu yang baru.
2. Tingkah-laku Proaktif : Kuasa
berpusatkan prinsip menggalakkan tingkah-laku proaktif yang membina dan membawa
perhubungan yang bukan bersifat situasional tetapi transformasional
yang bererti kita membuat pilihan kepada mana yang lebih penting
dan mana yang lebih bernilai dan berharga. Tingkah-laku proaktif melahirkan
tingkah-laku yang dihormati: tak perlu penyeliaan, tak perlu mandur. Guru-guru
yang bertingkah-laku proaktif dalam konteks ini sebenarnya memiliki standard
dalaman yang lebih tiggi daripada apa yang diletakkan kepadanya. Ia tidak
memikirkan untuk buat perkara lain, kerana bertentangan dengan jiwanya. Jika
tingkah-lakunya merosot ke bawah paras yang ditentukan (standard), guru yang
proaktif ini mampu 'membetulkan dirinya'. Falsafahnya "Saya boleh buat lebih baik.
Saya boleh jadi lebih baik."
3. Kawalan-kendiri : Ini bukan lagi kuasa yang datang dari luar. Kuasa berpusatkan prinsip
fokusnya ke dalam diri. Ianya bergantung kepada keupayaan dalaman masing-masing
bagi lebih tabah, lebih giat, lebih bersungguh-sungguh bila mengesampingkan apa
yang mereka mahu berbanding apa yang lebih besar dan mustahak. Ini akhirnya
membuatkan seseorang itu sanggup berkorban; iaitu melupakan apa yang kita
hendak sekarang kerana hendakkan perkara-perkara yang lebih mendesak.
4. Membina Kesaling-bergantungan : Dalam
kehidupan manusia tidak boleh
hidup dan bekerja seorang diri, tidak kira sekaya mana atau selemah atau
semiskin mana sekalipun, apatah lagi di dalam organisasi dan institusi zaman
sekarang. Menerusi kuasa paksaan kita memupuk dan menggalakkan pelbagai jenis
kebergantungan, manakala dalam kuasa utiliti ianya memupuk dan menggalakkan
kebebasan -- kebebasan untuk memilih seperti kita boleh memilih untuk bersatu
atau kita memilih untuk berpisah. Oleh itu kesaling-bergantungan adalah kesan daripada kuasa berpusatkan
prinsip: yang boleh menjawab soalan, "Apa yang boleh dan apa yang akan
jadi bila kita bersatu?" Kesaling-bergantungan juga melahirkan sinergi
daripada seluruh individu agar matlamat dan objektif institusi dan
organisasi tercapai dengan
cemerlang dan gemilang.
Aspek-aspek yang kita buat daripada budaya berpusatkan prinsip ini adalah: meyakinkan; jadi
sabar; jadi penyantun; mengajar; menerima; baik hati; menyayangi; belajar;
berdisiplin; jadi istiqamah dan hidup dengan keutuhan.
Ini pula kesan atau hasil yang kita dapat dengan
budaya berpusatkan prinsip: rakan dan perkongsian, transformasi yang bertimbal
balik, sinergi, risiko yang diambil kira, pertambahan keupayaan, kawalan
dalaman yang positif, kawalan-kendiri, tingkah-laku beretika, hubungan yang
saling bergantung, proaktiviti, kepercayaan, penyelesaian secara Menang/Menang
(Win/Win), persetujuan rakan-kongsi dn kepuasan mendalam hubungan
jangka-panjang.
Siapa Guru Sebenar Guru: Ke
Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu?
Sebagai golongan orang-orang yang berilmu
pengetahuan dan terlatih guru-guru bukan sahaja perlu mahir dalam bidang
masing-masing tetapi juga mestilah berkebolehan menggunakan teknologi komputer secara kreatif dan inovatif. Mereka hendaklah melihat revolusi sistem
pendidikan ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan kualtiti dan produktiviti pendidikan bukannya
sebagai ancaman kepada masa depan karier mereka (Wan Liz Ozman, 2000). Jadi
menyediakan diri menjadi guru
yang perkasa perlukan latihan
dan latihan-latihan semula secara berterusan atau bila-bila sahaja jika ada
peluang dan kesempatan. Hanya
dengan sikap proaktif,
semangat dan keinginan yang tinggi bagi memperlengkapkan diri sahajalah
seseorang itu guru itu mampu menyesuaikan dirinya dengan pelbagai cabaran,
tuntutan dan tekanan tugas dan kerja yang sering berubah dalam proses
peningkatan dan pembaharuan seperti tersirat di dalam Standard Tinggi
Kualiti Pendidikan hari ini.]
Guru sebenar guru ialah seorang guru yang memiliki sifat dan ciri-ciri unggul sebagai penyampai ilmu (yang
benar), sebagai penyemai nilai luhur, pembimbing, penunjuk ajar dan pemberi
pedoman hidup serta yang
paling penting dan berkesan
sebagai contoh dan teladan kepada setiap anak didiknya. Guru ynag perkasa bukan sahaja sihat tubuh badan dan
sihat pula mental dan pemikirannya tetapi seorang yang penuh dengan sifat-sifat
iltizam, dedikasi, bertanggungjawab, komited, tekun, sabar, bertimbang rasa,
rajin, ceria, amanah, berpegang kepada janji; tetap tidak akan mengkhianati
tugasnya atau murid-muridnya.
Prinsip utamanya seorang guru yang perkasa mesti
faham bahwa tugas 'mengajar dan mendidik serta meneladan' adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru sebenar
guru mestilah dapat menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad
(menentang, membasmi dan mencegah kejahilan, kebodohan, kebebalan, kelemahan,
kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan) dan kerja
mengajar pula (tanpa sebarang muslihat dan tipu helah) sebagai suatu
ibadah. Oleh itu seseorang guru itu akan memainkan peranan mengikut keadaan dan
situasi secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas; yang di dalam Islam guru
sebenar guru ini dikelaskan sebagai:
·
Al-mu'allim :
menyampaikan ilmu yang benar
·
Al-murabbi :
menjayakan proses tarbiah
·
Al-mu'addib :
mengajarkan adab dan budi pekerti
·
Al-mursyid
: membentuk kepimpinan insan
·
Al-mudarris :
menitipkan pelajaran dan kemahiran
Seorang guru yang perkasa tidak akan cepat menyalahkan
keadaan dan tempat sebelum ia menyalahkan dirinya terlebih dahulu, dan di samping itu pula berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri
ke tahap yang paling tinggi.
Penutup
Tugas
murni lagi mulia kita sebagai guru seharusnya jangan dicemari dengan
gejala-gejala buruk yang merosakkan sehingga kelemahan, kemunduran dan
kegagalan pendidikan yang kita pikul hari ini dari segi menyediakan
pengalaman-pengalaman berguna bagi kegunaan masa hadapan anak-anak didik kita
nanti, akan menyebabkan adanya individu yang ingin maju tetapi hanya berlegar
sekitar mediocrity, dan tidak pun berupaya menggunakan peranan
mereka untuk citarasanya apatah lagi memenuhi citarasa bangsa dan negaranya.
Kegagalan ini juga nanti
menghasilkan individu yang menjalankan sekerja separuh hati, atau sekadar makan gaji (Jemaah Nazir, 2000).
Oleh
itu selaku guru-guru kita sewajarnya menyedari hal ini dan oleh kerana itu juga
amat penting diingat bahawa apa jua yang kita buat dan apa jua yang kita tidak
buat akan mencerminkan siapa diri kita sebenarnya. Dalam banyak senario kita boleh lihat dan nilai sendiri bagaimana
guru yahg dikatakan seorang guru yang tidak jemu apabila sentiasa menampilkan
sikap dan perlakuan positif seperti datangnya awal baliknya lewat; atau
seorang guru yang tidak jemu mengajar biarpun berhadapan dengan segelintir
murid yang lemah., lambat dan dengan berbagai karenah; guru yang tidak lesu
tetapi tetap bertenaga dari pagi sampai ke tengah hari (atau petang); ia tidak
membezakan murid atau kelas yang cerdas dengan murid atau kelas yang kurang
cerdas.
Jangan
sekali-kali ada perasaan apatah lagi tersimpan niat di hati, akibat dari sikap
dan perbuatan kita, kita sangka yang rosak dan buruk hanyalah organisasi atau
sekolah kita sahaja; malah kerosakan yang lebih besar ialah rosaknya nama baik,
cemarnya maruah, buruknya perangai diri sendiri akibat mengikutkan hati dan nafsu
ammarah kita sehingga kita tidak mampu lagi mengenal atau membezakan
mana kaca mana intan, mana emas sepuluh mana emas sepuh.
Kita
harus berani dan secara gentleman
mengakui bahawa apa jua kelemahan dan kebejatan profesionalisme
yang wujud dan berlaku di sekolah kita masing-masing (apatah lagi jika
kita peneraju atau primadonanya) sehingga senario dan fenomena yang terpancar
di kava TV atau di dada-dada akhbar masalah-masalah
sosial yan berkaitan dengan sistem pendidikan negara mendesak agar usaha pihak institusi pendidikan perlu diletakkan
pada landasan yang lebih
efisien lagi. Dan kita tidak mungkin menjadi efisien jika kita bukan seorang
guru yang perkasa; jika kita seorang guru yang "powerless";
jika kita seorang guru yang tidak ada prinsip; jika kita seorang yang buta mata
hati; jika kita seorang guru yang tahu tapi tidak mahu; atau jika
kita seorang guru yang ada ilmu tapi tidak beramal dengan ilmunya. Setiap dari
kita pasti mampu dan berjaya menjadi seorang guru yang perkasa: ke
sekolah tidak jemu mengajar tidak lesu jika kita menghayati sabda
Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya;
"Barangsiapa yang amalannya hari ini
lebih baik dari semalam;
dia adalah orang yang beruntung.
Barangsiapa yang amalannya hari ini sama
dengan yang semalam,
dia adalah orang yang rugi.
Dan barangsiapa yang amalannya hari ini
lebih buruk dari hari semalam,
dia tergolong orang yang dilaknat Allah
S.W.T." ٱ
Rujukan
Lee, Blaine (1997). The Power Principle:
Influence With Honor. Simon & Schuster, New York, USA.
Elaine, McEwan (1998-2001). Ten Traits of
Highly Effective Teachers, McEwan-Adwin Groups. http://www.elainemcewan.com/ten_traits_teachers.htm 30.09.2001
Clery, E.(1998). Home Schooling : The Meaning
That The Homeschooled Child Assigns to This Experience. Issues in
Educational Research, 8(1), 1-13. http://cleomurdoch.edu.au/gen/iir/iier8/clery.html
Fink, L.Dee (1999). Evaluating Your Own
Teaching. Terbit dalam Improving College Teaching oleh Peter Seldin
(ed.). University of Oklahoma Instructional Development Program, July 20, 1999.
Leblanc, Richard (1998). Good Teaching: The To
Ten Requirements. Terbit dalam The Teaching Professor.
Noor Azmi Ibrahim (1998). Kurikulum Abad Ke-21:
Pengembangan dan Penekanan, Jurnal Kurikulum Pusat Perkembangan Kurikulum
Kementerian Pendidikan, Kuala Lumpur.
M.Lings, Patricia (1999). Homeschoolers:
Estimating Number and Growth. National Institute on Student Achievement,
Curriculum, and Assessment, Office of Educational Research and Improvement,
U.S. Department of Education. Web Edition, 1999. http://www.nfie.org/2000/htm
Wan Liz Ozman Wan Omar (2000). Mengurus Agenda
Abad 21 : Cabaran Dan Persiapan Dalam Era Globalisasi, Golden Books Centre
Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment