Sesungguhnya
peranan guru sememangnya besar. Ini adalah kerana anak-anak yang diasuh, diajar
dan dibimbing inilah yang akan menjadi insan-insan yang dapat mempamerkan
akhlaq dan peribadi yang dikehendaki Islam selaras dengan Al-Quran dan Sunnah.
Bermacam-macam
kes dan kejadian yang negatif yang kita semua dengar pada hari ini. Anak-anak
yang menumbuk muka guru, menyimbah asid ke muka guru, memukul guru, merosakkan
kereta guru dan bermacam-macam lagi kes yang melibatkan murid dan guru. Kita
tidak mahu bilangan kes seperti ini meningkat dari masa ke semasa. Maka, DPPN
Pk amat berharap agar anak-anak yang dikeluarkan daripada sekolah akan keluar
dengan kualiti yang cemerlang dari segi akhlaq dan ilmu pengetahuan.
Sambutan
Hari Guru ini juga sebenarnya adalah untuk menarik perhatian ibu bapa, murid
dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru di kalangan masyarakat di
Malaysia.
Gurulah
yang menyebabkan kita semua mengenal A,B,C…. alif,baa,taa…. 1,2,3…dan
sebagainya…. Jika bukan dari seorang guru, maka tidaklah lahir seorang peguam,
doktor, orang politik, pegawai-pegawai, pengurus-pengurus dan berbagai-bagai
jenis manusia yang bermula dari tahu membaca dan mengeja. Maka, sememangnya lah
wajar untuk kita semua mengingati dan meraikan para Guru. Memang tidak boleh
dinafikan betapa besarnya pengorbanan seorang guru dalam mendidik anak-anak
menjadi orang yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat, agama dan negara.
Kadang-kadang
mereka mendidik anak-anak murid sehingga ada yang tidak sempat meluangkan masa
untuk anak-anak mereka sendiri. Namun apa yang kita harapkan guru-guru semua
ikhlas dalam pengorbanan tersebut.
Insya Allah, Allah pasti akan membalas dengan ganjaran
yang setimpal, samada di dunia mahupun di akhirat kelak. Keikhlasan itu sangat-sangat
penting kerana dari ikhlasnya guru yang mengajar, maka anak-anak didik mendapat
ilmu yang berkat. Ilmu yang berkat inilah yang akan melahirkan anak-anak yang
mampu menjadi pelapis muda yang berilmu, beriman dan bertaqwa.
Justeru,
guru-guru perlu sentiasa mendidik jiwa, membetulkan niat dan mengikhlaskan
segala pengajaran dan pengorbanan yang dilakukan. Guru-guru juga harus
menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga
menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak
serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan
ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran mengajar.
Rasulullah
SAW sejak awal sudah mencontohkan dalam mengimplementasikan kaedah pendidikan
yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang baginda lakukan
memerhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang itu, sehingga nilai-nilai
murni dapat ditanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik.
Kami
penuh yakin dengan kewibawaan guru-guru dalam mempersiapkan diri anak didik
agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan
arus globalisasi dan penuh cabaran ini.
Akhirnya,
kami sekali lagi menyeru kepada semua guru supaya membulatkan tekad dan
menguatkan azam untuk sama-sama membantu meningkatkan dan melahirkan anak-anak
yang cemerlang dalam bidang agama dan pendidikan. Adalah menjadi harapan
saya, semua guru akan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan
amanah. Khas untuk guru-guru sekalian dan semua yang bergelar guru…
Kau seperti lilin yang menerangi
memberi sinar membakar diri
agar insan jadi insani
tanpamu kosong tiada erti
tak mungkin kami berada di sini.
Terungkap citra seorang wira
dari huruf menjadi kata
dari bebal menjadi bijaksana
dari putih menjadi warna
pencorak kehidupan penyambung bangsa
melangkah jauh terasa nyata
visi mendatang mudah terlaksana.
Di saat buntu, dikaulah pembantu
memberi ilmu tanpa jemu
tak kira masa, tenaga dan waktu
jasamu itu ku kenang selalu
biarpun beranak berpinak cucu.
Sesekali melangkah pasti rebah
nasihatmu kuingat menghilangkan gundah
agar diri dan semangat menjadi gagah
daku pasti tak mungkin mengalah
ilmu dan pengalaman diberi sudah
setelah berusaha dan berdoa, terserahlah.
Duhai guru-guru yang dikasihi
Terimalah kasih dan sayang kami
Lantaran berbudi tidak berperi
Untuk satu perjuangan hakiki
Kami kini mampu berdikari.
Terima kasih guru.
SELAMAT
HARI GURU
No comments:
Post a Comment